Monday, 22 June 2015

DIA LELAKI MEMBERKATI KU.



"Anak makcik timah pandai-pandai." 
"Kalau nak anak  pandai kawin dengan orang tua, pegi mana-mana dia bawak". 
Mungkin sekali imbas bagai satu kata-kata sinis tapi oleh kerana saya maseh kecil saya tidak ambil hati pun.

Emak saya berkahwin dengan duda tiga anak. Kata emak di zaman nya anak-anak dara hanya mengikut pilihan ibubapa. Tidak memilih sendiri calon suami. 

Saya anak sulung dari empat beradik. Semasa kecil ayah tersangat pemurah. Bila saya dapat duit belanja, kawan-kawan sepermainan saya  juga akan diberikan oleh ayah.

Ayah hanya penternak lembu. Di belakang rumah kami ada dua kandang lembu yang boleh menempatkan empat atau lima ekor lembu. Semasa kecil saya selalu dapat menikmati susu segar. 

Ayah amat dikenali sebagai 'pemotong lembu' kerana dia akan membekalkan lembu dan daging ketika kenduri kawin serta hari raya puasa juga hari raya qurban. Kata emak kenalan ayah memang ramai, ada dari Jasin Merlimau sehingga ke Alor Gajah dan Masjid Tanah.

Semasa ayah sakit disaat akhir hayatnya emak menceritakan ramai kenalannya datang semata-mata untuk minta dia halalkan hutang-piutang. Ketika itu saya tidak memahami apakah yang dinamakan konsep 'minta halalkan hutang'. 

Saya bertanya pada emak, "siapa orang-orang tu" iaitu yang datang tidak putus-putus berkunjung menziarahi ayah yang sedang sakit. Menurut emak mereka datang minta halalkan hutang. Saya bertanya, "Ayah kata apa?" Kata emak  "ayah terus halalkan je". 

Tanah yang di miliki pun tidak bertukar nama mungkin atas dasar mempercayai orang yang menjual  tanah pada ayah tanpa ada 'gran tanah' yang sah hingga kini.

Ayah juga terkenal sebagai yang pemurah menghulurkan sumbangan. Ayah juga mewakafkan sebidang tanah untuk membina surau. Seingat saya saya pernah menemui surat perjanjian jual beli dalam tulisan melayu jawi. Benar, ayah lebih mahir  dengan tulisan melayu jawi berbanding tulisan rumi.

Ayah juga telah membina dua rumah sewa yang menjadi sumber kewangan pada kami adik beradik setelah ketiadaannya. Oleh itu tidak hairanlah kami adik beradik sungguh selesa membesar dikampung itu walaupun tidak ada ayah sejak saya berumur sebelas tahun. November 1974 ayah menemui KhalidNya, ya telah 41 tahun ayah pergi. Masa begitu pantas berlalu, ayah maseh segar dalam ingatan saya. Ayah seorang dermawan yang hebat. Muga amal jariah ini menjadi bekal buat ayah tercinta.

Saya bangga dan bersyukur mengenali hati seorang lelaki yang bergelar ayah. Sepanjang kami berempat membesar, saya dan adik-adik tidak pernah kena rotan. Jika kami buat kesalahan diambilnya pelepah betik dan diacah-acah akan memukul kami jika kami degil.
Kata emak, "Hati ayah kau lembut, bila dia nak rotan anaknya dia akan menitiskan air mata". 

Ayah adalah lelaki pertama yang saya sayangi.
Muga Allah menyayangi mu ayah.


Januari 1987 saya di ijabkabul dengan pemuda yang pertama mengisi kehidupan rumahtangga. Dia menjadi ayah pada anak-anak saya. Ayah kepada anak-anak yang tersayang, iaitu suami yang tercinta.

Suami pernah bercerita zaman kanak-kanaknya yang mungkin memori yang tidak akan dilupakan olehnya.

Cerita suami saya, ketika abah seorang 'Askar Melayu' berpangkat sarjen yang ditugaskan mengawal sempadan Thailand. Iaitu di zaman komines. Semasa balik bertugas  "Satu hari abah balik dari sempadan Siam, abah nampak cukup gembira mengeluarkan buah tangan yang dibelinya", kata suami saya lagi, "masa abah berikan cenderahati, satu untuk adik perempuan  satu untuk adik lelaki tapi untuk saya abah ...". Sambil bercerita pada emak barangan Thailand yang murah-murah.  Tiba-tiba suasana sepi bila saya bertanya, "Mana untuk saya". Abah pandang emak terus mencapai basikal ditunjukkan pada saya bahawa itulah hadiah saya.

"Walaupun saya kecil lagi jelas sangat abah terlupa", kata suami saya. Tapi suami saya tidak pernah berkata dia terasa hati; hanya katanya "Abah terlupa belikan untuknya". 
Kenangan menaiki keretapi dengan abah, telah beberapa kali diceritakan pada saya kerana pertama kali dia menikmati mee goreng sotong yang sungguh lazat.

Bapa saudara kami telah bercerita pada saya "Pak Andak tak pernah jumpa budak macam bidi [suami saya]. Dia tidak sedikit pun membantah atau meninggikan suara juga bertindak kurang ajar pada abang Mat[panggilan abah]".

Katanya lagi "Pak Andak kagumlah dengan bidi ni...."

Dialah lelaki kedua dalam hidup saya. Lelaki yang menjadi ayah pada anak-anak saya. Tunggak keluarga kami. 
Saya bangga dan bersyukur menjadi isteri juga insan yang berada disisinya.

Benar, ayah iaitu para suami adalah tunggak dalam sesebuah rumah-tangga.

Inilah lelaki ke dua bertahta dijiwa saya. Saya bangga dan bersyukur menjadi insan yang hidup disampingnya.

Ayah anak-anak adalah cinta hati kami semua.
Ayah penguat semangat.

Salawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw juga para sahabat sekeliannya. Ya Allah panjangkanlah umur dengan kurniakan kesehatan yang berkat, rahmat yang melimpah, Perlindungan firdausi dibawah naungan  arasyh di padang mahsyar.

Ya Allah ampnilah dosa-dosa kami semua.
Bangkitkanlah kami semua bersama hamba Mu yang berIman.

Amin yarabbul alamin.

No comments:

Post a Comment