Tuesday, 9 June 2015

Jagalah Lidah mu.




Wajah adalah pandangan pertama bila berjumpa mahupun mengenali seseorang. Sopan tersenyum adalah hiasan diri lambang budi pekerti mulia. Budi perkerti lazimnya seiring dengan tingkah-laku juga bahasa pertuturan iaitu lisan. 

Zaman yang serba milemium ini, komunikasi manusia bukan sahaja pada mulut iaitu lidah. Suara boleh dilontarkan dengan tulisan dan lukisan. Berbagai kaedah penulisan menjadi buah mulut dan menyampaikan pemikiran.


Maka begitu juga pengkritik yang tidak bertauliah mudah sangat melahirkan pandangan sedang mereka lupa apa sahaja tingkahlaku akan dipersoalkan oleh Allah taala di akhirat nanti. Masyarakat lupa moral dalam diri.

Saya teringat kata-kata suami, "Ana sekarang rapat dengan Dr Asri, pasti orang kata ana....". Kata suami saya lagi, "Esok ana ada dialog mengenai drama dan filem dalam islam di FINAS, ana akan bergandingan dengan Dr Asri. Ini kali ke tiga ana atas pentas dengan Mufti Perlis tu".

Begitulah masyarakat kita mudah menghukum dan melebelkan seseorang. Orang berilmu bila memberikan buah fikiran berlandaskan pengetahuan mereka. Tetapi ramai pengkritik bercakap mengikut cita-rasa sendiri sedangkan masing-masing tidak mahu mencari titik kebenaran berpandukan ilmu. Lebih tegas melalui Al Quran As Sunnah. 

Maka jadilah kita masyarakat yang melebelkan ustaz bollywood, ustaz rock, ustaz pondok/jumud, ustaz wahabi dan berbagai istilah. Lebih menyedihkan ada juga yang mudah mengeluarkan kata-kata kesat, maki-hamun dan perkataan berbaur penghinaan.

Begitu juga kedengaran mereka suka memberi pandangan yang sinis terhadap status yang berbentuk; 
'syukur pagi yang nyaman ini saya dapat bertahajjud mengkoreksi kesilapan dan kelemahan saya.'
'hari ini saya telah katam 15 juzuk Al Quran, Alhamdulillah, muga ada keberkatan'
'Sebahagian dari hasil ini saya sumbangkan ke rumah anak yatim ....'
'Alhamdulillah anak saya cemerlang dalam SPM dapat 'straight A' dan mendapat biasiswa JPA di bidang perubatan di luar negara....'

Banyak lagi status begini, berbagai kaedah mereka memberitahu status diri. Dan berbagai tanggapan tafsiran boleh wujud. 

Mungkin ada gaya menunjuk-nunjuk kedudukan /kehebatan juga kebaikan yang dilakukan. 'Like' sahaja jika kita suka dan tidak perlu buat apa-apa pada status itu.

Niat itu rahsia Allah. Seperti yang diketahui Ikhlas itu hanya Allah sahaja yang tahu. Ikhlas itu juga rahsia Allah. 

Bersyukurlah seandainya dibumi Allah ini ada yang dapat bertahjud walaupun ada yang maseh selesa di tempat tidur keletihan. 

Makmurlah masyarakat islam seandainya ada dermawan boleh menderma di samping mengeluarkan zakat hartanya. 

Indahnya mendengar ada insan mengalunkan bacaan Al Quran. Maseh ada insan yang memuliakan kitab Allah swt yang membaca Al Qura]n dengan taranumnya. 




Benar, sampai kita terlupa, empat pekara yang mendatangkan pahala tanpa melakukan apa-apa;
* Memandang wajah ibu. [rahmat ]
* Memandang Al Quran. [Mukjizat Rasulullah saw]
* Melihat Lautan. [lambang kebesaran Allah swt]
* Memandang Kaabah di Masjidil Haram. [rumah Allah]

Pastinya kita gembira melihat anak Melayu yang beragama islam yang cemerlang dan berjaya mencapai kecemerlangan. Ianya lambang kejayaan anak bangsa.

Panjatkan kesyukuran jika ada golongan membantu mangsa tunami dan juga banjir. Ada yang berkorban harta, kepakaran mengorbankan masa juga keselesaan kehidupan membantu gulungan yang ditimpa musibah.

NGO-NGO pula berusaha membantu juga membangunkan masyarakat Rohingya yang tertindas dan berjuang mempertaruhkan nyawa ke negara kita. 

Walaupun sukar  negara-negara serantau ini menerima pelarian termasuk negara kita, namun maseh ada insan berhati mulia memberi sumbangan masa dan tenaga.

Jangan mudah menuduh apatah lagi kekadang kita secara tidak sengaja menghina mereka yang buat kebaikan. 

Mereka mahu tahajjud, sedekah, mensyukuri kejayaan, membaca Quran bersalawat dengan bersyariat. Mereka mampu buat sedangkan kita tidak mampu.

Nyatakanlah yang hak. Semua kita berhak bersuara tapi jagalah batas-batas lidah. Jangan sampai lidah kita membawa kita ke neraka.


Mulut iaitu lidah adalah kunci segala ibadah di dunia yang akan dipertanggung-jawabkan di akhirat. Hati adalah tempat jatuhnya rasa syukur dan redha. Percakapan dari lidah manusia adalah sebab musabab manusia masuk ke syurga atau neraka.

Bukan mudah mengatakan sesuatu yang baik sahaja dari diri, namun kita ada pilihan untuk beristigfar. Memohon pengampunan atas kelemahan kesilapan kita disisi Allah taala.

Melalui utusan agung Rasulullah saw dengan bersanad terungkai dalam Kitab 'Hadith 40 : Imam Nawawi'. Hadith yang ke 29 ini mengajar kita mengenal diri untuk menjadi hamba Allah yang baik pekertinya.


HADITS KEDUA PULUH SEMBILAN


عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ، أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ وَيُبَاعِدُنِي عَنِ النَّارِ، قَالَ : لَقَدْ سَأَلْتَ عَنْ   عَظِيْمٍ، وَإِنَّهُ لَيَسِيْرٌ عَلىَ مَنْ يَسَّرَهُ اللهُ تَعَالَى عَلَيْهِ : تَعْبُدُ اللهَ لاَ تُشْرِكُ  بِهِ شَيْئاً، وَتُقِيْمُ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُوْمُ رَمَضَانَ، وَتَحُجُّ  الْبَيْتَ، ثُمَّ قَالَ : أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيْئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ، وَصَلاَةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ   اللَّيْلِ، ثُمَّ قَالَ :تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ (–حَتَّى بَلَغَ-  )يَعْمَلُونَ (ثُمَّ قَالَ : أَلاَ أُخْبِرُكَ بِرَأْسِ الأَمْرِ وُعَمُوْدِهِ وَذِرْوَةِ سَنَامِهِ ؟ قُلْتُ بَلَى يَا رَسُوْلَ اللهِ قَالَ : رَأْسُ اْلأَمْرِ اْلإِسْلاَمُ وَعَمُوْدُهُ  الصَّلاَةُ وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ. ثُمَّ قَالَ: أَلاَ أُخْبِرُكَ بِمَلاَكِ ذَلِكَ كُلِّهِ ؟ فَقُلْتُ : بَلىَ  يَا رَسُوْلَ اللهِ . فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ وَقَالِ : كُفَّ  عَلَيْكَ هَذَا. قُلْتُ : يَا نَبِيَّ اللهِ، وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُوْنَ بِمَا نَتَكَلَّمَ بِهِ ؟ فَقَالَ : ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ، وَهَلْ   يَكُبَّ النَاسُ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوْهِهِمْ –أَوْ قَالَ : عَلىَ مَنَاخِرِهِمْ – إِلاَّ حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ .
[رواه الترمذي وقال : حديث حسن صحيح]
Terjemah hadith / ترجمة الحديث :


Daripada Mu'adz bin Jabal ra dia berkata: 

         Saya bertanya; "Wahai Rasulullah, beritahu pada ku tentang perbuatan yang dapat memasukkan ku ke dalam syurga dan menjauhkan ku dari neraka.

     Baginda bersabda; Engkau telah bertanya tentang sesuatu yang besar. Namun dia adalah mudah bagi mereka yang dipermudahkan oleh Allah taala: engkau sembahlah Allah dan jangan engkau menyekutukanNya dengan sesuatu pun, engkau dirikan sohlat, engkau tunaikan zakat, engkau berpuasa Ramadhan dan engkau mengerjakan ibadah haji ke baitullah.

    Kemudian baginda [Rasulullah saw] bersabda: Mahukah engkau aku beritahu tentang pintu-pintu kebaiikan [syurga]? "Puasa itu adalah sebagai perisai [benteng], sedekah adalah amal yang akan menghapuskan kesalahan [dosa] sebagaimana air memadamkan api dan sohlat seorang lelaki di tengah malam [qiamullai]," 

   Kemudian Baginda membaca ayat  Al-Quran [bermaksud[; "mereka merenggang dari tempat tidurnya, [sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sohlat tahajud dan amal-amal soleh]"  [ayat 16-17 surah Al-sajdah].

    Kemudian baginda bersabda: Mahukah kamu aku beritahu sesuatu yang jika kamu laksanakan, kamu akan memiliki semua itu? 

    Saya berkata:  Bahkan Ya Rasulullah,  Maka Rasulullah saw memegang lisannya, lalu bersabda: Jagalah ini[dari perkataan kotor]. Saya berkata: Wahai Nabi Allah, apakah kami akan dihukum juga atas apa yang kita bicarakan? Baginda bersabda: Ah kamu ini, manusia itu tidak diseret ke dalam api neraka dengan muka mereka dibawah..." atau sabda baginda: di atas hidung mereka..." melainkan akibat perbuatan lidah mereka.

 [Riwayat: Tarmizi dan dia berkata: Hadith Hasan sahih].



intipati hadith;
Oleh itu, Sebagai muslim muslimat berpeganglah kepada rukun iman yang lima, iaitu menyembah Allah dengan tidak menyekutukanNya sedikit pun, mendirikan SOHLAT, menunaikan Zakat,  berPUASA dan menunaikan Haji.

Matan hadith 29 ini adalah memperkatakan; 'Pintu Syurga' yakni:
-Puasa itu benteng hawa-nafsu
-Sedekah itu menghapuskan dosa bagai air memadamkan api
-Tahajjud amalan orang-orang soleh.

Pesan Rasulullah saw pula yakni;
-Pokok segala pekara adalah amalan dalam ISLAM.
-Tiang nya SOHLAT.
-Puncaknya JIHAD.

Kata Rasulullah saw:  JAGAlah  LIDAH  maka  KAMU AKAN MILIKI SEMUANYA.

LIDAH ADALAH KUNCI IBADAH.

No comments:

Post a Comment